
Oleh Dato’ Dr Haron Din
Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka.
Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin.
Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?
Abu Bakar Zakaria,
Damansara, Selangor
Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.
Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.
Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.
Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.