SESUNGGUHNYA hubungan antara puasa dan taqwa amatlah erat. Ini kerana seseorang yang berpuasa dengan menjaga segala adabnya di samping melaksanakan segala ketaatan sama ada yang fardu atau yang sunat sudah pasti menatijahkan takwa.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t, Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai takwa. Takwa itulah yang bersemarak dalam hati ketika mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya.
Takwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik dalam hati. Orang-orang yang dihadapkan ayat-ayat al-Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya makam takwa di sisi Allah dan betapa beratnya timbangannya dalam neraca Allah.
Takwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai takwa serta salah satu jalan yang menyampaikan kepada takwa.
Oleh sebab itulah ayat ini mengangkat takwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.
Berdasarkan ayat di atas dapatlah disimpulkan bahawa natijah puasa itu ialah untuk mencapai ketakwaan. Inilah hikmah yang terbesar dari perlaksanaan ibadat puasa yang penuh dengan adab dan etikanya. Di sini diterangkan maksud takwa.
Takwa pada bahasa diertikan dengan takut kepada Allah ada juga dengan maksud melaksanakan sesuatu yang diperintahkan dan meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh Allah dan Rasulnya. Begitu juga diertikan dengan pemuliharaan dari terjatuh ke lembah maksiat.
Seterusnya dinyatakan pandangan ulama berkenaan dengan takwa antaranya:
* Saidina Ali berkata: Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.
* An-Nasr Abazi berkata: Takwa ialah seorang hamba bertakwa atau memelihara selain daripada Allah.
* Abu Bakar Muhammad ar-Rauzabari berkata: Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan.
* Talq bin Habib berkata: Takwa ialah amalan dengan ketaatan Allah atas cahaya Allah.
* Abu Hafs berkata: Takwa hanya pada halal semata-mata dan bukan yang lain.
* Dikatakan juga takwa mempunyai peringkat: Bagi orang awam dengan selamat daripada syirik. Bagi orang khusus dengan selamat daripada maksiat.
Bagi wali-wali dengan selamat bertawassul dengan perbuatan dan bagi Nabi takwa dengan selamat nisbah perbuatan apabila takwa mereka daripada-Nya kepada-Nya.
lIbn Ataillah Rahimahullah berkata: Bagi takwa zahir dan batin. Zahirnya dengan menjaga had dan batasan serta batinnya dengan niat dan ikhlas.
* Abu al-Husein al-Zanjani Rahimahullah berkata: Siapa yang modalkan hartanya takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.
* Al-Wasiti Rahimahullah berkata: Takwa ialah seseorang memelihara dari takwanya yakni dari melihat ketakwaannya.
* Abdullah bin Mas’ud r.a. mengatakan: Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.
* Umar Ibn al-Khatab bertanya kepada Ubai bin Ka’ab sebutkan ciri-ciri takwa kepadaku? Jawab Ubai: Apakah tuan pernah melintasi kawasan dengan penuh duri? Umar menjawab: Ya. Katanya bagaimana tuan lakukan? Umar menjawab: Saya amat berhati-hari bagi menghindarinya daripada terkena duri. Kata Ka’ab: begitulah ketakwaan.
Allah juga menyebut bahawa hanya orang yang bertakwa mendapat hidayah. Ini kerana orang-orang yang bertakwa adalah orang yang paling agung dalam mengambil dari petunjuk al-Quran mereka juga membandingkan dan mengukur kelayakan al-Quran itu pada diri mereka.
Disini dinyatakan beberapa faktor bagi mendapat ketakwaan:
* Merasakan pengawasan daripada Allah s.w.t Yang Maha Esa Lagi Maha Tinggi
* Melaksanakan ibadat yang wajib dan juga yang sunat dengan penuh keikhlasan.
* Menjauhi segala maksiat sama ada yang zahir mahupun yang batin seperti riak, ujub, takbur dan lain-lain.
* Sentiasa mengkaji sifat orang yang bertakwa dan sejarah mereka seperti sejarah para anbiya terutamanya sirah Nabi Muhammad s.a.w dan para salafus salih terutamanya para sahabat.
* Sentiasa berdampingan dengan orang-orang yang soleh. Pada saat yang sama menjauhi daripada golongan yang fasik dan yang derhaka kepada Allah.
* Banyak tadabbur dan mengkaji ayat-ayat Allah sama ada ayat-ayat kaumiyah (alam) atau pun ayat-ayat maqru’ah (ayat-ayat al-Quran) kerana ia boleh mendatangkan keinsafan dan yang lebih utama membawa kepada makrifatullah. Dengan makrifah seseorang sudah pasti berjalan atas keredaan Allah tanpa merasa goyah dan boleh terpedaya oleh musuh yang nyata yakni syaitan.
Seterusnya kaitan puasa dengan takwa amatlah sinonim ini kerana orang yang berpuasa bersungguh-sungguh menjaga pantang larang dan melaksanakan adab-adab puasa sama ada yang zahir atau batin selaras dengan saranan Rasulullah.
Justeru puasa amat mudah untuk menatijahkan takwa yang akan menjadi kemuncak perhambaan manusia kepada Tuhannya.
Dengan takwa seolah-olah manusia mendapat pelbagai jenis keistimewaan sehingga Imam al-Ghazali menyebut didalam kitabnya Minhaj al-Abidin antaranya:
* Mendapat sokongan dan dokongan daripada Allah.
* Dikurniakan kemudahan dalam kehidupan.
* Dimurahkan rezeki.
* Dimenangkan ke atas musuh.
* Diberi hidayah dan taufik.
* Dikurniakan syurga pada hari akhirat.
* Diselamatkan daripada neraka.
Oleh itu, marilah sama-sama meningkatkan prestasi ibadat puasa kita untuk mencapai ketakwaan dan dengannya kita menjadi golongan yang meraih kebahagiaan dunia seterusnya merentasi akhirat.
amin...
No comments:
Post a Comment