Soalan:
Apakah hukumnya kaum kafir harbi fi’lân (orang kafir yang diperangi) memasuki masjid? Bagaimanakah dengan hujah yang menyatakan bahawa Nabi pernah mengikat Tsumamah (seorang kafir musyrik) di Masjid Nabawi? Dari sudut yang lain pula, para Khalifah pada zaman sesudah Nabi SAW melarang orang kafir daripada memasuki masjid. Jadi bagaimanakah untuk meletakkan kedudukan mereka dalam hal ini?
Jawapan:
Sebelum membahas tentang hukum kafir harbi fi’lan memasuki masjid, akan dijelaskan terlebih dahulu pandangan para fuqaha' tentang hukum orang kafir memasuki masjid secara umum. Dalam hal ini, terdapat empat pendapat daripada empat mazhab:
Pendapat pertama: Orang kafir boleh memasuki masjid, termasuk Masjidil Haram di Mekah. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi. Hujah mereka adalah Nabi SAW pernah menerima delegasi Tsaqif di masjid Baginda, sedangkan mereka ketika itu masih kafir. Hujah lain adalah kenajisan diri mereka sesungguhnya bukanlah najis dari segi fizikal, tetapi ia terletak pada iktiqad (keyakinan) mereka, maka ia tidak akan mempengaruhi dari segi mencemarkan atau mengotorkan masjid. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. Oleh kerana itu, janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini”.
[TMQ at-Taubah [9]: 28].Mereka menyatakan bahawa maksud larangan ayat tersebut adalah, “Jika mereka masuk dengan sombong, untuk menguasai atau telanjang (tidak menutup aurat), sebagaimana tradisi mereka pada zaman Jahiliyah”. Jika bukan untuk tujuan tersebut, maka tidak ada larangan untuk mereka memasukinya.[1]
Pendapat kedua: Mereka boleh memasuki masjid dengan izin kaum Muslimin, kecuali Masjidil Haram dan sebarang masjid di Tanah Haram. Ini adalah pendapat mazhab as-Syafi'i.[2] Dalam salah satu riwayat dinyatakan bahawa Imam Ahmad juga berpendapat yang sama. Sebahagian ahli mazhab Hanbali juga sependapat dengan pandangan ini. Ibn Qudamah di dalam kitabnya Al-Mughni berpendapat, “Adapun masjid di Tanah Halal, mereka tidak boleh memasukinya kecuali dengan izin kaum Muslimin..Jika mereka diizinkan untuk memasukinya, maka menurut mazhab yang sahih adalah dibolehkan. Ini adalah kerana Nabi SAW pernah didatangi oleh delegasi penduduk Thaif (Bani Tsaqif). Baginda mempersilakan mereka untuk singgah di masjid sebelum mereka memeluk Islam.”
Said bin al-Musayyib berkata, “Abu Sufian pernah memasuki Masjid Nabawi ketika masih musyrik. ‘Umair bin Wahab juga pernah memasuki Masjid Nabawi, yang pada waktu itu Nabi berada di sana, dan dia hendak menyerang Baginda. Kemudian Allah menganugerahkan Islam kepadanya.” [3]
Pendapat ketiga: Mereka tidak dibolehkan sama sekali untuk memasuki masjid. Ini adalah pendapat Imam Ahmad dalam suatu riwayat yang lain. Hujahnya, sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Qudamah, Abu Musa al-Asy’ari pernah menemui Umar selaku Khalifah pada waktu itu, dengan membawa sepucuk surat. Umar berkata kepada Abu Musa, “Panggilkan orang yang menulis surat ini untuk membacakannya.” Abu Musa menjawab, “Dia tidak boleh memasuki masjid.” Umar bertanya, “Kenapa?”. Abu Musa menjawab, “Kerana dia seorang Kristian.” Ini menjadi hujah di kalangan sahabat dan mereka bersepakat. Selain itu, hujah mereka yang lain adalah bahawa jika hadas junub, haid dan nifas adalah dilarang untuk tinggal/singgah di masjid, maka apatah lagi hadas syirik, ia sudah semestinya tidak dibolehkan.[4]
Al-Qurthubi juga merujuk pendapat terakhir ini kepada pendapat penduduk Madinah:
Berdasarkan hukum itulah, Umar bin ‘Abdul ‘Aziz ketika menjadi Khalifah, telah menulis surat kepada para pegawainya di (pelbagai) wilayah..Pendapat tersebut diperkuatkan dengan firmanNya,
“Di rumah-rumah (Allah) itu, Allah mengizinkannya untuk diagungkan dan disebut namaNya.”
[TMQ an-Nur (24): 36]. Masuknya kaum kafir ke sana (masjid) adalah bertentangan dengan usaha untuk mengagungkan rumah Allah. Dalam Sahih Muslim dan lain-lain juga ada menyatakan, “Bahawa masjid-masjid ini tidak boleh ada sedikitpun kencing dan kotoran..” Padahal orang kafir tidak menjaga daripada semua perkara tersebut. Baginda Nabi SAW juga pernah bersabda,
“Masjid tidak dihalalkan untuk orang yang haid dan junub.” Orang kafir dikira masuk dalam kategori junub. Allah juga berfirman,
“Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.”
[TMQ at-Taubah (9): 28].Allah menyebut mereka najis, tidak kira sama ada dari segi zatnya (fizikal) yang najis atau dijauhkan dari jalan hukum Allah (kafir). Mana-mana daripada dua perkara tersebut, hukum menjauhkan mereka daripada masjid tetap wajib kerana ‘illatnya adalah najis, dan realitinya ada pada diri mereka, sedangkan kesucian itu ada pada masjid.. [5].
Pendapat keempat: Mereka dilarang untuk memasuki masjid, kecuali untuk aktiviti-aktiviti yang bersifat darurat. Ini adalah pendapat mazhab Maliki. Asy-Shawi dalam Hâsyiyah asy-Shâwi ada menyatakan, “Keterangan: Orang kafir juga dilarang untuk memasuki masjid sekalipun diizinkan oleh orang Islam, kecuali jika terdapat aktiviti-aktiviti yang bersifat darurat..”. [6]
Al-Khurasyi menyatakan, “Orang kafir, baik lelaki mahupun wanita, adalah diharamkan untuk memasuki masjid jika tidak diizinkan oleh orang Islam. Bahkan jika diizinkan sekalipun, ia tetap tidak dibolehkan, kecuali jika terpaksa seperti untuk membangunkan (membaiki) masjid yang mana jika pada waktu itu tidak ada seorang Muslim pun yang berkemampuan/berkebolehan, atau jika orang kafir tersebut lebih dipercayai hasil pembinaannya.” [7]
Berdasarkan pendapat-pendapat mazhab di atas, dapatlah disimpulkan bahawa hukum memasuki Masjidil Haram adalah jelas berbeza dengan memasuki masjid-masjid yang lain. Orang kafir sama ada mereka adalah ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani, ataupun musyrik baik sama ada yang menjadi ahl dzimmah (warganegara Daulah Islam) ataupun ahl harb (orang kafir yang diperangi), maka adalah haram bagi mereka untuk memasuki Masjidil Haram. Mengenai hujah mazhab Hanafi yang mengatakan bahawa orang kafir boleh memasuki Masjid Nabawi dan juga istinbat (penarikan) hukum daripada surah at-Taubah ayat 28 untuk membolehkan mereka memasuki Masjidil Haram adalah jelas tidak relevan sama sekali.
Adapun bagi masjid-masjid yang lain yakni bukan Masjidil Haram atau masjid-masjid di Tanah Haram yang lain, maka hukumnya adalah berbeza. Secara umumnya, pendapat fuqaha' menyatakan bahawa kaum kafir sama ada ahli kitab ataupun musyrik adalah dibolehkan untuk memasuki masjid, tidak kira sama ada dengan syarat mendapat izin daripada kaum Muslimin ataupun kerana mempunyai kepentingan-kepentingan lain yang mendesak. Sesungguhnya perkara ini dapat diserahkan kepada pendapat ketua negara (Khalifah).
Oleh yang demikian, tindakan Nabi SAW dalam menerima kehadiran Abu Sufian dari Mekah dan delegasi Bani Tsaqif dari Thaif di Masjid Nabawi, mengikat Tsumamah di Masjid Nabawi ketika dia menjadi tawanan Perang Badar dan membiarkan Umair bin Wahab masuk ketika Baginda berada di dalam masjid adalah jelas tidak bertentangan dengan keputusan dan tindakan Umar. Ini adalah kerana masing-masing adalah ketua negara pada zaman mereka dan masing-masing berhak memutuskan apa yang dianggap tepat ataupun tidak mengikut kebijaksanaan mereka. Ketika Nabi SAW membuat keputusan seperti itu pada zamannya, cahaya Islam pada waktu itu belum sekuat pada zaman Umar. Dengan berada di masjid, orang-orang kafir tersebut boleh menyaksikan cahaya Islam dari dekat. Selain itu, masjid pada zaman Nabi bukan sahaja berfungsi untuk tujuan ibadah, tetapi juga untuk kegiatan politik, pemerintahan dan administrasi negara. Pada zaman Umar, di saat cahaya Islam telah bersinar terang, pendekatan terhadap orang kafir dengan mengizinkan mereka untuk memasuki masjid sudah tidak diperlukan lagi. Selain itu, dengan sifat ketelitian Umar, beliau sendiri sangat mengangungkan masjid dan sentiasa betul-betul memastikan agar masjid tidak ternoda oleh sebarang kotoran walaupun sedikit. Oleh itu, kepentingan Islam dan kaum Muslimin yang dilihat dari pandangan Khalifahlah yang menjadi hujah mengapa orang kafir dibolehkan untuk memasuki masjid.
Adapun bagi kaum kâfir harbî fi’lân, jika mereka memasuki negeri kaum Muslimin dengan jaminan keamanan (al-amân) untuk mempelajari Islam, dengan memasuki masjid untuk mendengar ajaran Islam, maka itu dibolehkan. Namun, jika mereka datang ke negeri kaum Muslimin bukan untuk mempelajari Islam, tetapi sebaliknya mereka memasuki masjid hanya untuk melihat keindahan dan kebesarannya, atau menjadikannya sebagai topeng di hadapan umat Islam untuk mengaburi permusuhan mereka terhadap Islam dan umatnya, atau bertujuan untuk melebarkan penjajahan mereka terhadap negeri kaum Muslimin, walaupun mereka datang dan masuk dengan jaminan keamanan (al-amân), maka hukumnya adalah tetap haram. Allah SWT telah menyatakan:
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang di dalam masjid-masjid Allah untuk menyebut namaNya dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya memasuki ke dalamnya, kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka mendapat kehinaan di dunia dan di akhirat mendapat azab yang berat”.
[TMQ al-Baqarah [2]: 114].Wallahu a’lam.
Catatan kaki:
1 Ibn ‘Abidin, Raddu al-Mukhtâr ‘alâ ad-Durr al-Mukhtâr, Dâr al-Fikr, Beirut, 1995, VI/ 691.
2 Abu Zakariyya an-Nawawi, Raudhatu at-Thâlibîn wa ‘Umdatu al-Muftîn, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., I/281.
3 Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni ‘ala Mukhtasar al-Khiraqi, XIII/202.
4 Ibn Qudâmah al-Maqdisi, Ibid, XIII/202.
5 Al-Qurthûbi, al-Jâmi’ li Ahkâmi al-Qur’ân, Dâr al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, VIII/103.
6 Asy-Shâwi, Hâsyiyah asy-Shâwi ‘ala as-Syarh as-Saghîr, I/160.
7 Al-Khurasyi, Manhu al-Jalîl Syarah Mukhtasar Khalîl, Dâr Shadir, I/71.
Sumber : Disunting daripada Majalah Al-Waie, edisi Disember 2010.
No comments:
Post a Comment