Ukuran Kebenaran
Wednesday, August 13, 2008 (23:29:21)
Posted by hafizf
Kebenaran Tidak Boleh Diukur Berdasarkan Kemahsyuran Sesuatu Amalan & Ramai Pengikutnya
Olek: Mohd Hairi Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial - Universiti Malaysia Sabah)
E-mail : mohd.hairi_nonchi@yahoo.com.my
Sebahagian orang ada yang beranggapan bahawa sesuatu kebenaran itu hanya boleh diukur berdasarkan kepada ramainya orang yang berpegang kepadanya. Dalam perkataan lain, mereka menjadikan faktor kuantiti sebagai barometer untuk mengukur sesuatu kebenaran. Apabila diajukan soalan, mengapa anda berpandangan sedemikian, maka dengan spontan pihak yang ditanya akan menjawab : “Bukankah jumlah yang ramai dalam sesuatu perkara itu menggambarkan kesatuan pendapat dari pelbagai pihak, dan sudah tentu sahajalah tidak mungkin perkara yang disepakati itu tersilap atau salah !”. Demikianlah manhaj sebahagian umat Islam pada masa kini dan sikap mereka tatkala berinteraksi dengan agama mereka sendiri, di mana segelintir dari kalangan mereka sering beralasan “kena ikut pegangan yang paling ramai” bagi menangkis sesuatu perkara yang dikatakan sebagai “pelik” dan “ganjil” pada pandangan mereka tanpa mahu mengkajinya terlebih dahulu sama ada perkara “pelik” yang ditolak itu berada di posisi kebenaran atau sebaliknya.
Berpijak di atas dasar ini, maka penulis sekali lagi menampilkan diri di arena pentas penulisan bagi memperbetulkan semula manhaj sesetengah pihak dalam membuat pengukuran ketika mencari kebenaran sesuatu pegangan atau amalan. Kesedaran untuk menulis artikel ini sebenarnya timbul apabila penulis sendiri melihat reaksi atau sikap sebahagian masyarakat ketika mereka berhadapan dengan kepelbagaian pendapat atau amalan. Oleh yang demikian, penulis merasakan perlunya perkara ini diketengahkan agar manhaj dalam menilai sesuatu perkara berhubung dengan persoalan agama ini dapat dibetulkan dan diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Sepanjang perbahasan ini, penulis semampu mungkin akan berusaha membawa para pembaca sekalian untuk mengenali manhaj yang benar dalam membuat penilaian; yaitu manhaj yang bersumberkan kepada petunjuk al-Qur’an, pegangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a serta pandangan para ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Insya’Allah.
Jika diteliti ayat-ayat al-Quran, maka kita akan dapati sejumlah ayat yang menerangkan bahawa Allah s.w.t sendiri telah membatalkan pandangan sesetengah pihak yang meletakkan pegangan dan amalan majoriti sebagai hujah yang menjustifikasikan kebenaran mereka. Hal ini kerana, kebenaran itu hanyalah bersumberkan kepada wahyu yang Allah turunkan kepada sekalian para Nabi dan Rasul-Nya, manakala manusia pula tiadalah sedikit pun hak untuk menentukan pegangan mereka itu adalah sesuatu yang benar. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah :
“Kebenaran itu adalah (bersumber) daripada Tuhanmu; maka janganlah engkau termasuk orang-orang yang meragui tentang kebenaran itu..” (Surah al-Baqarah : 147)
Perhatikan ayat-ayat berikut:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka; dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)...” (Surah al-An’am : 116)
Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t juga menegaskan bahawa :
“ ... Dan kebanyakan mereka tidak menuruti melainkan sangkaan sahaja; (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak (dalam) menentukan dari kebenaran ...” (Surah Yunus : 36)
Lihatlah dalam ayat tersebut di atas, Allah s.w.t sendiri telah menerangkan kepada kita mengenai tabiat atau sikap umat manusia yang kebanyakan atau majoritinya hanya cenderung kepada sikap berprasangka dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara – walhal persepakatan yang hanya didasarkan kepada sangkaan oleh majoriti itulah yang sering menyesatkan manusia dari jalan yang benar sebagaimana yang Allah tegaskan di atas. Tidak sekadar itu, selain ayat-ayat al-Quran di atas, terdapat beberapa lagi dalil dari al-hadis sahihah dan qaul para ulama’ mengenai perkara ini, di antaranya :
Pertama :
Sauban r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :
“Sebentar lagi akan datang umat-umat yang akan berkerumunan (untuk memperbutkan) kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan. Maka seorang bertanya: Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit? Baginda s.a.w menjawab : Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn? Baginda menjawab : Cinta kepada dunia dan takut mati” (Hadis riwayat Abu Daud, Kitab al-Malahim: Bab: Fi Tada al Umam ‘Alal Islam, jld. 4, ms. 484, no: 4297).
Hadis di atas memaparkan bagaimana baginda menerangkan keadaan umat Islam akhir zaman. Menarik untuk dibincangkan di sini ialah dalam hadis di atas, Rasulullah ada menyebut kalimah jumlah kamu pada saat itu ramai bagi menjawab soalan yang diajukan oleh salah seorang sahabatnya. Sebenarnya, sahabat yang bertanya tersebut telah beranggapan bahawa kemungkinan punca utama yang menjadi penyebab kepada berlakunya situasi yang menimpa umat Islam sebagaimana yang diramalkan oleh baginda dalam sabdanya tersebut adalah disebabkan oleh jumlah atau bilangan mereka yang sedikit. Walau bagaimanapun, sangkaan atau anggapan sahabat tersebut ternyata meleset kerana soal bilangan atau kuantiti bukanlah sebab utama yang membawa kepada kelemahan umat Islam, akan tetapi - sebagaimana menurut penjelasan baginda s.a.w - ianya adalah disebabkan oleh sikap umat Islam sendiri yang tidak lagi berpegang teguh kepada jati diri Islam yang tulen, sebaliknya lebih cenderung kepada sifat terlalu cintakan dunia dan takutkan mati (al-Wahn).
Kedua :
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“.... Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripda Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga iaitu al-Jamaah ....” (Diriwayatkan oleh sejumlah sahabat dengan lafaz yang saling berbeza tetapi ke arah maksud yang sama, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain. Lafaz hadis di atas adalah salah satu dari lafaz Abu Daud, lihat Sunan Abu Daud – no: 4429)
Menerusi hadis di atas, Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada kita bahawa selepas kewafatan baginda s.a.w umat Islam akan berpecah kepada beberapa golongan. Ternyata apa yang diungkapkan oleh baginda s.a.w tersebut benar-benar berlaku ketika ini, di mana umat Islam telah berpecah belah kepada sekian-sekian aliran, jamaah, puak, kumpulan atau golongan. Walau bagaimanapun, disamping perkhabaran baginda s.a.w mengenai berlakunya perpecahan tersebut, baginda s.a.w juga turut mengingatkan kita bahawa hanya satu kumpulan sahaja daripada kumpulan-kumpulan yang berpecah ini yang akan berjaya memasuki syurga, iaitu “al-Jamaah”.
Hendaklah difahami bahawa maksud al-Jamaah dalam hadis di atas bukanlah merujuk kepada sesuatu kumpulan, puak, firqah, parti, gerakan, organisasi atau persatuan, akan tetapi ialah umat Islam seluruhnya yang bersatu di atas kebenaran. Manakala kebenaran itu pula sudah pastilah kebenaran yang bersumberkan kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih berdasarkan amalan dan pemahaman para sahabat r.a. Kesilapan segelintir umat Islam hari ini ialah, apabila disebut sahaja istilah “al-Jamaah” maka secara automatik timbul pada benak fikiran mereka bahwa al-Jamaah itu adalah merujuk kepada sesuatu kumpulan atau golongan, kemudian dari kumpulan itu pula mereka cuba mengaitkannya dengan faktor kuantiti atau bilangan orang-orang yang menjadi pengikut atau pendukung kepada kumpulan tersebut. Bertitik tolak dari salah faham ini, maka lahirlah manhaj penilaian “semakin ramai pengikut sesuatu golongan atau kumpulan, maka kumpulan itulah yang sebenarnya yang paling betul”.
Sebenarnya al-Jamaah dalam hadis di atas tidak ada kena-mengena pun dengan faktor kuantitinya. Hal ini adalah, sesiapa sahaja yang mengikuti kebenaran yang dibawa oleh baginda s.a.w maka dia adalah termasuk dalam al-Jamaah yang diiktiraf baginda s.a.w – walaupun – yang berpegang kepada kebenaran tersebut hanyalah keseorangan diri dan amat sedikit yang mengikutinya. Inilah dasar utama yang menjadi pegangan Abd Allah ibn Mas’ud r.a sepertimana katanya :
“Al-Jamaah adalah (setiap) apa yang menepati kebenaran sekalipun engkau bersendirian” (Dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Damshiq, jld. 46, ms. 409 dan dinilai sahih oleh Syaikh Nashiruddin al-Albani dalam al-Misykat al-Mashabih, jld. 1, ms. 56)
Selain itu, Al-Imam Abu Syamah As-Syafi’e r.h ketika menghuraikan maksud al-Jamaah, beliau berkata :
“Acapkali datang perintah untuk berpegang teguh dengan al-Jamaah, maka yang dimaksudkan (dengan berpegang teguh kepada al-Jamaah ialah) senantiasa berpegang teguh dengan kebenaran dan para pengikutnya, walaupun orang yang berpegang teguh dengan kebenaran sedikit jumlahnya dan orang yang menyelisihinya banyak jumlahnya. Hal ini kerana kebenaran ialah ajaran yang diamalkan oleh al-Jamaah generasi pertama semenjak Nabi s.a.w dan para sahabatnya r.a, dan tidak dipertimbangkan banyaknya jumlah pengikut kebatilan yang ada setelah mereka..” (Abu Syamah As-Syafi’e, Al-Ba’its ‘Ala Ingkari Al-Bida’ Wal Hawadits, ms. 34)
Ketiga :
Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan sebuah hadis, di mana beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“ Sesungguhnya Islam bermula asing, dan ia akan kembali menjadi asing sepertimana ia bermula; maka berbahagialah orang-orang yang asing itu” (Diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitab al-Iman: Bab: Bada al Islam Ghariba, jld. 2, ms. 354, no: 370, Ibnu Battah dalam Kitab al-Iman, jld. 1, ms. 172, no: 605 dan lain-lain).
Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w memberitakan kepada umatnya akan sifat “keterasingan” agama Islam dan orang-orang yang berpegang teguh kepadanya. Sebagaimana hadis-hadis sebelum ini, maka demikian jugalah, dalam riwayat ini baginda tidak sedikit pun mengaitkan faktor bilangan yang ramai sebagai hujah bagi menjustifikasikan kebenaran sesuatu amalan atau pegangan. Yang baginda tonjolkan dalam riwayat di atas hanyalah mengenai kebahagiaan yang bakal diraih bagi golongan “asing” yang benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam yang tulen lagi murni; yakni sebagaimana Islam yang dibawa dan dipraktikkan oleh Rasulullah dan generasi sahabat suatu masa dahulu. Oleh sebab itu, maka tidak menghairankan apabila pelbagai amalan al-Sunnah Rasulullah dipraktikkan di tengah-tengah masyarakat hari ini, ianya akan dipandang “pelik” dan “terasing”, malah lebih daripada itu, bagi masyarakat yang jahil akan menganggapnya sebagai amalan yang terkeluar dari ajaran Islam. Semua ini disebabkan bukan sahaja oleh faktor kejahilan mereka dalam memahami ajaran Islam yang sebenar atau kerana sifat “kepelikan” amalan tersebut, tetapi juga disebabkan oleh kurang atau sedikitnya orang-orang yang beramal dan berpegang dengannya berbanding dengan amalan lain yang dilakukan oleh majoriti umat.
Secara kesimpulannya, berdasarkan kepada hujah-hujah yang penulis bahaskan di atas, maka jelaslah kepada kita semua bahawa untuk mengukur sesuatu kebenaran bukanlah terletak kepada kemahsyuran sesuatu pegangan atau amalan; demikian juga ianya bukanlah terletak kepada bilangan majoriti orang-orang yang beramal atau berpegang kepadanya. Apa yang benar ialah untuk mempastikan sama ada sesuatu perkara itu benar atau tidak, maka terlebih dahulu ianya perlulah ditimbang di atas neraca al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Apakah ianya benar-benar berpijak di atas dalil-dalil al-Quran dan/atau al-Sunnah yang sahih, atau sebaliknya. Inilah manhaj yang benar lagi adil, dan juga merupakan prinsip yang termaktub di atas lembaran al-Quran dan al-Sunnah.
Sebagai mengakhiri risalah ini, maka ada baik kiranya penulis menukilkan beberapa pesanan para ulama’ yang berkait rapat dengan persoalan ini. Diharap, dengan pesanan dan mutiara kata mereka ini sedikit sebanyak akan membantu ke arah membuka minda setiap yang membacanya agar dengan cara seperti ini manhaj penilaian yang benar, tepat lagi adil dapat diterapkan kepada semua pihak. Syaikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan dalam kitabnya Syarah Masa-il Jahiliyah (Dinukil daripada buku 25 Persoalan Semasa : Huraian & Penyelesaian, karya Mohd Yaakub Mohd Yunus, terbitan Karya Bestari, Selangor, cetakan 2007, ms. 9-10) berkata:
“Nilai ukur kebenaran itu bukan kerana jumlah pengikut yang besar, tetapi nilai ukurnya adalah kebenaran atau kebatilan yang menyertainya. Setiap yang benar walaupun pengikutnya sedikit, maka harus digenggam kuat. Itulah jalan keselamatan. Semua kebatilan tidak boleh berubah menjadi benar hanya kerana jumlah pengikutnya yang banyak. Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Islam itu muncul sebagai agama yang asing (sedikit pengikutnya) dan suatu ketika akan kembali asing sebagaimana pertama kali muncul” (Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Iman – no: 146)
Abu ‘Ali al-Fudhail bin ‘Iyad r.a pernah berkata: “Berpeganglah pada petunjuk (kebenaran). Janganlah engkau tewas disebabkan hanya segelintir sahaja yang melakukannya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan golongan (ramai) yang telah rosak” (Al-Nawawi, al-Azkar, ms. 225-226, Mu’assasah Fuad Ba’inu li al-Tajlid, Beirut)
Ibnu Muflih r.h dalam bukunya al-Adab al-Syar’iyah berkata : “Seseorang itu hendaknya mengetahui bahawa banyak perkara yang dilakukan oleh kebanyakan orang adalah menyalahi peraturan syara’. Sedangkan ianya menjadi mahsyur di kalangan mereka dan kebanyakan orang mengikuti amalan mereka itu. Dan wajib ke atas orang yang mengetahui penyimpangan itu untuk menyelisihi mereka dibuktikan dalam ucapan dan perbuatannya. Janganlah dia merasa lemah dalam tindakannya itu disebabkan hanya dia sahaja yang melakukannya dan sedikit rakan yang melakukannya..” (Ilmu Usul al-Bida’, Ali bin Hasan bin Ali bin Abdul Hamid, , Dar al-Rayah, Riyadh, cetakan pertama 1314H, ms. 271).
Sekian dahulu dari penulis. Semoga risalah ini bermanfaat buat semua. Wassalam.
No comments:
Post a Comment