"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." (Surah Al-Israa:37)
Tuesday, August 30, 2011
Puasa Enam (Puasa Syawal)
Puasa Enam (Puasa Syawal) - Edisi Update/Tambahan Dari Posting Yang Lepas
-Disertakan/Termasuk beberapa Puasa Sunat Yang Lain -
Disunnahkan oleh syara mengiringi puasa di bulan Ramadan dengan berpuasa enam hari di dalam bulan Syawal. Setelah berpuasa enam, maka tidak ada acara menyambut Hari Raya yang dikhususkan untuk merayakan puasa enam seperti apa yang dinamakan “Hari Raya Ketupat Besar” sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat Melayu.
Dalil-dalil yang menunjukkan sunnahnya puasa enam hari di bulan Syawal:
عَنْ اَبِيْ اَيُّوْبَ اْلاَنْصَارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتَّا مِنْ شَوَّالِ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.
“Dari Abi Ayub al-Ansari radiallahu ‘anhu: Bahawa Rasulullah bersabda: Barangsiapa berpuasa ramadan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti puasa setahun”. (H/R Muslim (1164). Ibn Majah (1612/1716). Imam Ahmad dalam musnadnya (2/204-5/417/419). Abu Daud (2433). Tirmizi (759). Nasaii dalam As-Sunan al-Kubra (2/2862). At-Thayalisi dalam Al-Musnad (hlm. 81). Abdurrazzak dalam Al-Musannaf (7918, 7919, 7921). Ibnu Syaibah dalam Al-Musannaf (3/97). At-Tahawi dalam Musykil al-Atsar (2238, 2340,2341,2345). Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra (4/292), H/R Ahmad 417. Muslim 822 (Kitabus Siam) no. 1164. Abu Daud. 2/812-813. (Kitabus Siam). No 2433. At-Turmizi . (Bab As-Siam) no 756 Turmizi berkata: Hadis hasan sahih. Ibnu Majah 3/206-207 (Kitabus Siam) no 1716)
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ اِبْرَاهِيْمَ : اَنَّ اُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ كَانَ يَصُوْمُ اَشْهُرَ الْحُرُمِ ، فَقَالَ لَهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صُمْ شَوَّالاً. فَتَرَكَ اَشْهُرَ الْحُرُمِ ثُمَّ لَمْ يَزَلْ يَصُوْمُ شَوَّالاًحَتَّى مَاتَ.
“Dari Muhammad bin Ibrahim bahawa Usamah bin Zaid berpuasa pada bulan-bulan mulia, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepadanya: Puasalah pada bulan Syawal. Lalu dia meninggalkan puasa bulan-bulan mulia dan terus berpuasa dibulan Syawal hingga dia meninggal dunia”. (Lihat: Al-Jami As-Saghir 2/99 hadis no 5037. Imam as-Syuti menyebutkan bahawa hadis ini sahih. H/R Ibnu Majah no. 1744)
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ فَشَهْرٌ بِعَشَرَةِ أَشْهُرٍ وَصِيَامُ سِتَّةِ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ فَذَلِكَ تَمَامُ السَنَةِ
“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan, maka puasa sebelum itu sama dengan sepuluh bulan dan dengan puasa enam hari setelah berbuaka (berhari raya), maka itu melangkapi puasa setahun”. ((H/R Ahmad 5/280). Ibnu Majah (1715). An-Nasaai dalam As-Sunan Al-Kubra (2/2860). Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra (4/393) dan dalam Asy- Syu’bah Al-Imam 3/3736). Al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (2/362) Ad-Darimi dalam As-Sunan (2/21). Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya (2115). At-Tahawi dalam Musykil Al-Atsar (2348). At-Tabrani dalam Musnad Asy- Syamiyin (903))
Menurut Imam An-Nanawi rahimahullah: “Para ulama berkata: Bahawa puasa enam setara dengan puasa setahun, kerana satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh kali ganda. Puasa sebulan Ramadan sama dengan puasa sepuluh bulan, puasa enam pula sama dengan berpuasa dua bulan”. (Lihat: Syarah Muslim 3/238)
Menurut Ibn Qudamah rahimahullah: “Puasa enam hari di bulan Syawal disunnahkan sebagaimana pendapat kebanyakan para ulama, iaitu berdasarkan riwayat dari Ka’ab al-Ahbar, Asy-Syafie dan Maimun bin Mihran serta inilah pendapat Imam Asy-Syafie rahimahullah dan Ahmad”. (Lihat: Al-Baihaqi dalam Ma’rifat As-Sunan Wal-Atsar (3/450). An-Nawawi dalam Syarah Muslim (3/238). Abdullah bin Ahmad dalam Masail Ahmad hlm 93. Syarah ‘Umdatul Ahkam (2/556)). (Lihat: Al-Mugni (4/438))
Apakah Dikerjakan Pada Minggu Pertama Syawal Atau Semestinya Berturut-turut?
Tidak disyaratkan dikerjakan pada minggu pertama Syawal, kedua atau ketiga atau secara beruturut. Boleh dikerjakan pada Hari Raya kedua, berturut-turut atau diselang seli kerana keumuman sabda Rasulullah:
وَأَتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالَ (وَفِى رِوَايَةٍ) سِتًّا مِنْ شَوَّالَ.
“Dan ikutkanlah/iringkanlah dengan puasa enam hari di bulan Syawal. (Diriwayat yang lain) Enam hari di bulan Syawal”.
Hadis di atas ini menunjukkan bahawa bulan Syawal keseluruhannya waktu untuk berpuasa enam, diberi kelongaran sehingga tidak dikhususkan sebahagian waktu dengan waktu yang lain, yang pesti ia dipisahkan oleh puasa Ramadan dengan Hari Raya pertama (1hb Syawal), kerana tidak dibolehkan berpuasa pada awal Hari Raya.
Ibn Taimiyah menjelaskan: Telah diketahui bahawa puasa Syawal tidak bersambung dengan puasa Ramadan, jika melakukannya di awal bulan lebih afdal kerana lebih hampir dengan Ramadan, maka melakukan di akhir bulan Syawal juga afdal kerana mengakhirinya menghampirkan puasa Ramadan dengan puasa lainnya, atau menjadikan Hari Raya kedua seperti yang dilakukan sebahagian orang, maka keduanya ada kebaikannya sama ada di awal atau di akhir Syawal.
Menurut Imam An-Nawawi rahimahullah: “Pendapat dari kalangan ulama Syafiyah puasa enam hari sunnah dilakukan secara berterusan/berurutan, kerana menurut Imam an-Nawawi: Para sahabat kami berkata: Disunnahkan puasa enam bulan Syawal berdasarkan hadis sahih. Mereka juga berkata: Disunahkan berpuasa berurutan (terus menerus enam hari tanpa diputuskan), tidak ditunda sehingga akhir bulan, namun sebaliknya juga dibolehkan, orang yang melakukan masih mengikut sunnah yang sesuai dengan keumuman makna hadis dan kemutlakannya. Dan ini tiada perbizaan dikalangan mazhab kami, sebagaimana juga pendapat Ahmad dan Abu Daud”. (Lihat: Al-Majmu’ (6/379))
Menurut Imam Ahmad, dijelaskan oleh anaknya Abdullah: “Nabi Muhammad bersabda: Enam hari dari bulan Syawal, maka apabila seseorang berpuasa enam hari tersebut, tidak perlu dikhuatari sama ada dilakukan berselang seli atau serentak (berurutan)”. (Lihat: Masail Abdullah hlm. 193)
Berpuasa enam Syawal sunnah hukumnya dan diberi pahala yang besar.
Puasa Sunnah Enam, Apakah Boleh Didahulukan Jika Ada Puasa Qada (Mengqada Puasa Ramadan)?
Syeikh Utaimin rahimahullah berkata: “Ini adalah suatu persoalan yang perlu dijelaskan, iaitu bahawa puasa enam (di bulan Syawal) tidak boleh didahulukan dari mengqada puasa fardu Ramadan yang tertinggal. Jika ada yang tertinggal puasa Ramadan, kemudian melakukan puasa enam sebagai sunnah mutlak, ia tidak memperolehi sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi di dalam hadisnya (Lihat: Syarah Al-Mumti’ (6/448)):
مَنْ تَطَوَّعَ وَعَلَيْهِ مِنْ رَمَضَانَ شَيْءٌ لَمْ يَقْضِهِ فَاِنَّهُ لاَ يُتَقَبَّلُ مِنْهُ حَتَّى يَصُوْمَهُ
“Barangsiapa yang mengerjakan puasa sunnah sedangkan ia mempunyai hutang (qada’) Ramadan yang belum ditunaikan, maka puasa sunnahnya tidak diterima sampai ia membayarnya (mengqada’nya). (Lihat: Al-Mugni. 4/401)
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالَ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.
“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan, lalu ia mengiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seakan-akan ia telah berpuasa setahun”.
Oleh kerana hadis ini menetapkan: (Barangsiapa yang berpuasa Ramadan) adalah jelas. Sebahagian ahli ilmu ada yang berbeza pendapat tentang sahnya melakukan puasa sunnah sebelum mangqada’ puasa wajib. Namun masalah ini tidak berlaku khasnya kepada perkara ini, kerana hadis ini menyatakan dengan jelas tidak ada puasa enam hari kecuali setelah mengqada’ puasa Ramadan”. (Lihat: Al-Mugni. 4/401)
Perbezaan Pendapat Tentang Puasa Enam Syawal
Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad tidak menganggap sunnah puasa enam hari di bulan Syawal. Namun ini diingkari (dibantah) oleh al-Hafiz Asy-Syaukani, beliau mengatakan:
“Mereka berhujjah bahawa mungkin (puasa enam hari Syawal) akan dianggap sebagai puasa yang wajib. Ini adalah pendapat yang batil yang tidak pantas dikeluarkan oleh orang yang memiliki akal fikiran, apalagi seorang ulama seperti mereka dalam menentang sunnah yang sahih dan jelas. Malah pendapat seperti ini akan berlaku pula pada semua puasa yang dianjurkan oleh agama dan tidak seorangpun yang mengatakan demikian. Sementara Imam Malik berhujjah dalam memakruhkannya sebagaimana yang beliau katakan di dalam Al-Muwata’: Bahawa beliau tidak pernah melihat seorangpun dari kalangan ulama yang mengerjakan puasa enam hari Syawal. Sedangkan perlu dijelaskan bahawa jika ia tidak melihat seseorang melakukan sesuatu sunnah, maka tidak bererti pendangannya boleh menolak sunnah”. (Lihat: Nailul Autar (4/282))
Pendapat Yang Rajih (Lebih Sahih Dan Kuat)
Namun pendapat yang lebih rajih ialah hadis Aisyah radiallahu ‘anha bahawa beliau mengqada’ puasanya di bulan Syaban dan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam membenarkannya:
ِكَانَ يَكُوْنُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ فَمَا أَسْتَطِيْعُ أَنْ أَقْضِيَهُ اِلاَّ فِى شَعْبَانَ
“Dahulu aku mempunyai hutang puasa Ramadan, maka aku tidak mampu mengqada’nya kecuali pada bulan Sya’ban”. (H/R Bukhari l950. Muslim 1146)
Maka dibolehkan berpuasa sunnah sebelum mengqada’ puasa wajib yang tertingggal. Kewajipan mengqada’ puasa tidak dibatasi oleh waktu-waktu tertentu. (Lihat: Bada’ As-Sanai’ 2/104. (rujuk pendapat al-kasani))
Menurut Imam An-Nawawi: Mazhab Maliki, Abu Hanifah, As-Syafie, Ahmad dan Jumhur Ulama Salaf dan Khalaf, bahawa mengqada’ puasa Ramadan bagi orang yang meninggalkannya kerana uzur seperti disebabkan haid atau dalam musafir, maka tidak disyaratkan mengqada’nya dengan segera setelah mampu melakukannya, (Lihat: Syarah Muslim. 3/213. An-Nawawi) kerana keumuman Firman Allah Azza wa-Jalla:
فَعِدَّةٌ مِنْ أيَّامٍ أُخَرُ يُرِيْدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيْدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
“berpuasalah dihari-hari yang lain, Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesusasah bagi kamu”. (al-Baqarah 2: 185)
Menurut Imam Qurtubi rahimahullah: “Ayat ini menunjukkan wajibnya mengqada’ puasa tanpa ditentukan harinya, kerana lafaz ayat tersebut berlaku sepanjang masa tanpa ditentukan pada masa-masa tertantu”. (Lihat: al-Jami Li Ahkam Al-Quran 2/282. al-Qurtubi)
Syeikul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah setelah mengingkari pendapat Imam Ahmad rahimahullah yang memakruhkan puasa enam hari Syawal, maka Ibn Taimiyah berkata: “Apabila dilakukan di akhir Ramadan, maka antara keduanya telah terpisah oleh Hari Raya. Dan larangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berkenaan puasa di Hari Raya menunjukkan bahawa larangan tersebut khusus jika dikerjakan pada hari itu sahaja, sedangkan di hari-hari setelahnya adalah hari yang dibolehkan dan diizinkan untuk berpuasa. Jelasnya jika baginda mahu melarang dari puasa enam hari Syawal, pasti baginda akan menegahnya sebagaimana baginda menegah berpuasa diawal bulan Ramadan (Lihat: Syarah Al-Umdah (2/559)):
لاَ تُقَدِّمُوْا رَمَضَانَ بِصَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ.
Janganlah kamu mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya”. (Rujuk: Sahih Bukhari hadis no: 1914, Sahih Muslim, hadis no: 2514)
Berpuasa Pada Hari Tarwiyah?
Soalan:
Apa hukumnya berpuasa pada hari Tarwiyah sebagaimana yang sering diamalkan oleh ramai orang-orang Islam dewasa ini? Apakah hukumnya sunnah atau bid’ah?
Jawapan:
Puasa dihari tarwiyah hukumnya bid’ah dan haram kerana tiada hadis sahih yang warid dari Rasulullah yang memerintahkan berpuasa pada hari tersebut. Malah hadis tentang berpuasa pada hari Tarwiyah adalah hadis lemah atau palsu. Sebagaimana hadis di bawah ini:
صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرَفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ.
“Berpuasa pada hari Tarwiyah menghapuskan dosa satu tahun, dan berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa dua tahun”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Dailami dalam kitabnya “Musnad Firdaus”. 2/248. Hadis ini maudu’ kerana sanadnya tidak tsiqah (berpenyakit). Antara penyebab kelemahannya ialah:
Perawinya Muhammad bin as-Saaib al-Kalbi, dia seorang pendusta hadis (kazzab). Kebohongannya diakui sendiri oleh beliau. Beliau meriwayatkan hadis di atas ini dari Abi Salih. Sedangkan beliau pernah berkata kepada Sufyan as-Tahuri rahimahullah tentang Abu Salih:
“Setiap hadis yang kamu dengar dari aku melalui jalan Abi Saleh dari Ibnu Abbas, maka hadis-hadis tersebut adalah bohong (dusta)”.
Al-Hafiz Imam Hakim rahimahullah berkata:
“Muhammad bin as-Saaib al-Kalbi meriwayatkan hadis ini dari Abi Saleh. Hadis-hadis darinya adalah maudu’ (hadis tentang puasa hari Tarwiyah ini diriwayatkan dari Abi Saleh. Pent)”.
Untuk mengenali lebih lanjut komentar siapa Muhammad bin As-Saaib bin al-Kalbi, sila rujuk kepada kitab-kitab berikut:
Al-Jarah wat-Ta’dil 7/721. Tulisan Ibnu Abi Hatim.
Tahzibut Tahzib 9/5178. Tulisan al-Hafiz Ibn Hajar.
At-Taqrib 2/163. Tulisan Ibn Hajar.
Ad-Du’afa 2/253-256. Tulisan Imam Ibnu Hibban.
Selain kitab-kitab di atas, terdapat beberapa buah kitab lain yang telah menjelaskan tentang lemah dan palsunya hadis “Puasa Pada Hari Tarwiyah”.
Berpuasa Sunnah Pada Hari ‘Arafah
Soalan: Apakah benar berpuasa pada Hari ‘Arafah itu sunnah, iaitu pada tanggal 9hb. Zulhijjah? Ada sebahagian ustaz sunnah mengatakan bid’ah. Diharap ustaz dapat menjawab dengan berdalil atau hujjah yang tepat agar menjadi panduan kami dan jamaah.
Jawapan: Berpuasa pada Hari ‘Arafah (Hari Arafah ialah pada 9hb Zulhijjah) dan Hari ‘Asyura hukumnya sunnah kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ ، اَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ اَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِيْ قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِيْ بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُوْرَاءَ ، اَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ اَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِيْ قَبْلَهُ.
“Berpuasa pada hari ‘Arafah, aku mengharapkan dari Allah akan menghapuskan dosa selama satu tahun yang telah berlalu dan satu tahun yang akan datang. Berpuasa pada hari ‘Asyura aku mengharapkan dari Allah agar menghapuskan dosa satu tahun yang telah lalu”. Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh beberapa orang perawi, antaranya dirawayatkan oleh Imam Muslim 3/168. Abu Daud no. 2425. Ahmad 5/297. 311. Dan Baihaqi 4/286.
عَنْ اَبِيْ قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سُئِلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ ؟ قَالَ : يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَّةَ وَالْبَاقِيَّةَ
“Dari Qatadah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ditanya perihal berpuasa pada hari Arafah (tanggal 9hb Zulhijjah). Baginda bersabda: Puasa pada hari itu dapat menghapuskan dosa pada tahun yang lalu serta tahun yang akan datang”. Hadis sahih riwayat Imam Muslim. Pada bab 227. “Keutamaan Berpuasa Pada Hari Arafah, ‘Asyura dan Tasu’a”. Lihat: Riyadus Salihin. Jilid 2. Imam Nawawi.
Melalui hadis di atas ini jelaslah bahawa berpuasa pada hari Arafah adalah sunnah hukumnya.
sumber : Nawawi
Labels:
Islam,
Makanan,
Pendidikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment