Saturday, July 10, 2010

Hadis-hadis Musykil Tentang Akhir Zaman

Umat Islam akan berpecah menjadi 73 kumpulan.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

"Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah." [1]

Kemusykilan:

Apakah maksud sebenar hadis ini ? Ia seolah-olah meramalkan bahawa banyak umat Islam yang akhirnya akan masuk neraka. Bagaimanakah kita hendak meletakkan diri kita dalam kumpulan al-Jamaah ?

Penjelasannya:

Hadis ini adalah antara yang paling disalah-fahami dan disalah-gunakan. Dengan hadis ini ramai pihak yang memisahkan dirinya daripada kesatuan umat atas alasan kononnya Rasulullah telah meramalkannya. Dan banyak kumpulan yang membenarkan kumpulan sendiri sebagai hanya yang satu-satunya layak masuk syurga manakala lain-lain kumpulan semuanya akan masuk neraka.

Sementara itu sebahagian lain pula menolak hadis ini kerana bagi mereka adalah mustahil kebanyakan umat Islam akan masuk neraka. Telah sabit dalam pelbagai hadis yang sahih bahawa umat Islam, yakni mereka yang mengucap dua kalimah syahadah akan masuk syurga secara pasti. Mereka mungkin akan masuk ke neraka untuk sementara waktu bergantung kepada dosa-dosa besar yang dilakukan masing-masing tetapi akhirnya akan tetap masuk ke syurga.

Oleh itu apakah maksud hadis di atas ? Marilah kita mengkaji maksud kalimahnya satu persatu.

Sabda baginda: … dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan)… bukanlah merupakan satu ramalan yang menetapkan tetapi adalah satu peringatan kepada apa yang mungkin akan terjadi.

Jumlah 73 yang baginda sebut mengisyaratkan kepada jumlah yang banyak sebagaimana kebiasaan penggunaan angka 7 atau 70 oleh masyarakat Arab untuk mengisyaratkan sesuatu yang besar jumlahnya. Ini seperti yang telah diterangkan ketika menjelaskan hadis orang kafir ada tujuh usus. Angka 2 dan 3 bagi jumlah 72 dan 73 pula mengisyaratkan bahawa umat Islam berkemungkinan akan berpecah menjadi kumpulan-kumpulan yang lebih banyak jumlahnya daripada perpecahan Ahli Kitab.

Daripada kumpulan-kumpulan ini hanya al-Jamaah yang akan masuk syurga. Apa dan siapakah al-Jamaah ?

Dari sudut bahasa al-Jamaah adalah persatuan di mana lawannya adalah perpecahan. Dari sudut istilah, al-Jamaah adalah persatuan umat Islam di atas kebenaran dan usaha mereka untuk menjauhkan perpecahan, pengasingan dan pemulauan sesama umat sama ada dalam bentuk yang kecil atau besar.

Justeru Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan hadis di atas dalam rangka memberi amaran keras kepada umatnya untuk tidak berpecah-belah menjadi kumpulan dan kelompok yang saling berselisih antara satu sama lain. Hendaklah umat Islam semuanya bersatu sebagai satu jamaah.

Amaran Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis ini adalah selari dengan ayat al-Qur’an berikut ini:

Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.

Kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)” [Hud 11:118-119]

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan tabiat manusia yang suka berpecah-belah dan ini termasuklah umat Islam sendiri. Semuanya akan memenuhi neraka kecuali mereka yang bersatu atas kebenaran, iaitu jamaah umat Islam.

Dalam sebuah ayat lain Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

Dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik - Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu). [al-Rum 30:31-32]

Dalam ayat di atas Allah Tabaraka wa Ta‘ala menerangkan sifat orang-orang musyrik yang memecah-belahkan agama mereka, masing-masing bergembira dengan pecahan masing-masing. Maka hendaklah orang-orang yang mentauhidkan Allah, yakni umat Islam bertindak berbalik daripada tindakan orang-orang musyrik tersebut, iaitu hendaklah umat Islam bersatu dalam satu jamaah dan mengelakkan perpecahan.

Sikap berjamaah yang menjauhi perpecahan juga sangat ditekankan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis-hadis baginda. Antaranya:

Sesungguhnya orang yang memisahkan dirinya daripada jamaah sekalipun dengan jarak sehasta lalu dia mati, maka matinya adalah dalam keadaan jahiliyah.[2]

Tiga orang, jangan engkau bertanya tentang mereka: (1) seseorang yang memisahkan dirinya dari jamaah dan menderhakai imamnya dan mati dalam keadaan menderhaka, (2) Seorang budak perempuan atau budak lelaki yang melarikan diri dari tuannya lalu dia (budak tersebut) mati dan (3) seorang isteri yang suaminya pergi lalu ditinggalkan bekalan (nafkah) duniawi yang mencukupi namun kemudian dia (si-isteri) mengkhianati (suaminya).[3]

Sabda Rasulullah: Tiga orang, jangan engkau bertanya tentang mereka bermaksud tiga orang yang akan menghadapi kemusnahan di Hari Akhirat nanti.[4]

Berjamaah adalah rahmat dan berpecah adalah azab.[5]

Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpun umatku (atau umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam) atas kesesatan. Dan tangan Allah atas al-Jamaah dan sesiapa yang mengasingkan diri, maka dia mengasing ke neraka.[6]

Wahai manusia, berjamaahlah kalian dan janganlah kalian berpecah-belah. Sesiapa yang hendak tempat di tengah-tengah syurga maka hendaklah dia selalu berjamaah.[7]

Akan datang sesudah aku orang-orang yang berbuat fitnah, keburukan dan kejahatan. Maka sesiapa kamu yang melihatnya memecah-belahkan al-Jamaah atau hendak memecah-belahkan antara umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam atau memecah-belahkan urusan mereka, maka bunuhlah dia siapapun orangnya.

Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jamaah dan sesungguhnya Syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jamaah.[8]

Demikian beberapa hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang memerintah umat untuk berjamaah dan ancaman keras bagi mereka yang memecah-belahkan jamaah atau mengasingkan diri darinya.

Timbul persoalan seterusnya, bagaimanakah seharusnya kita umat Islam hidup berjamaah ?

Sepertimana yang telah diterangkan, dari sudut bahasa al-Jamaah adalah persatuan di mana lawannya adalah perpecahan. Dari sudut istilah, al-Jamaah adalah persatuan umat Islam di atas kebenaran dan usaha mereka untuk menjauhkan perpecahan, pengasingan dan pemulauan sesama umat sama ada dalam bentuk yang kecil atau besar. Untuk memperincikan konsep al-Jamaah memerlukan sebuah buku yang berasingan kerana ini adalah satu subjek yang luas dan penting. Justeru berikut ini hanya digariskan perkara-perkara penting tentang konsep berjamaah dalam Islam:

Pertama:

Berjamaah adalah atas kebenaran iaitu umat Islam bersatu atas kebenaran yang berasal dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Tidak boleh bersatu di atas sesuatu yang batil atau terkeluar dari batas-batas Islam. Ini adalah dasar pertama yang terpenting sehingga Abdullah ibnu Mas‘ud radiallahu ‘anhu pernah berkata: al-Jamaah adalah apa yang menepati kebenaran sekalipun engkau bersendirian.[9]

Namun perlu diingatkan bahawa kebenaran itu sendiri adalah sesuatu yang sangat luas, justeru hendaklah ia ditentukan oleh seseorang mujtahid atau sekumpulan ilmuan yang jujur dan adil. Jika didapati seseorang atau sesebuah kumpulan itu jelas menyalahi kebenaran, maka tidak perlu berjamaah dengannya seperti orang yang menyindir Rasulullah atau kumpulan tariqat yang meletakkan syari‘at Islam di tangga kedua selepas shaikh mereka.

Kedua:

Berjamaah adalah kepada satu pemimpin yakni seorang khalifah Islam. Dalam suasana tidak ada khalifah pada masa kini, berjamaah adalah kepada pimpinan al-Qur’an dan al-Sunnah dan para ahlinya. Dalam ertikata lain, para ilmuan Islam yang berdiri di atas al-Qur’an dan al-Sunnah bertindak sebagai pemimpin umat Islam masa kini sehinggalah lahir sistem khalifah yang berwibawa.

Ketiga:

Berjamaah bukanlah bererti persatuan pendapat tetapi adalah toleran terhadap beberapa pendapat yang sedia ada. Sebahagian ahli hikmah berkata: Yang dibolehkan adalah perbezaan pendapat sementara yang dilarang adalah perpecahan umat. Namun perlu diingatkan bahawa sikap toleran hanyalah terhadap beberapa pendapat dan bukannya semua pendapat kerana pendapat yang batil wajib ditolak atau diperbetulkan.

Keempat:

Berjamaah bukanlah bererti tidak boleh wujud beberapa kumpulan atau gerakan tetapi berjamaah adalah bekerjasama sesama kumpulan dan gerakan. Dalam hal ini bersambung kata-kata para ahli hikmah: Bersatu dalam perkara yang kita sepakati, berdiam diri dalam perkara yang kita selisihi.

Kelima:

Berjamaah adalah saling menghormati antara satu sama lain. Namun di waktu yang sama gerakan dakwah dan ‘amar ma‘aruf nahi mungkar wajib berjalan sesama ahli termasuk pemimpinnya supaya kebenaran sentiasa berada bersama jamaah. Seandainya pemimpin memerintahkan sesuatu yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka tidak ada ketaatan kepada perintah tersebut melainkan kewajipan membetulkannya. Seandainya pemimpin tetap berdegil maka hendaklah diusahakan perlantikan atau penggantian pemimpin yang baru secara bermesyuarat sesama jamaah (Majlis Syura). Semua ini tetap dijalankan dalam jamaah, tidak di luarnya.

Demikian lima dasar utama konsep jamaah dalam Islam. Berjamaah berlandaskan dasar-dasar di atas wajib ditegakkan dan dipelihara sesama umat Islam tanpa mengira mazhab fiqh dan fikrah politik. Tidak boleh memecahkan jamaah semata-mata kerana perbezaan pendapat dalam hukum fiqh. Tidak boleh membahagi-bahagikan jamaah semata-mata kerana perbezaan pandangan dalam berpolitik. Tidak boleh saling memulau antara jamaah semata-mata kerana sesuatu amalan bid‘ah yang tidak jelas kebid‘ahannya. Sesiapa yang memecah-belahkan jamaah atau menyisihkan diri atau memulau daripada jamaah maka dia termasuk salah satu daripada 72 kumpulan yang akan masuk ke dalam neraka.

Rujukan :

[1] Hasan: Hadis daripada sejumlah sahabat dengan lafaz yang saling berbeza tetapi ke arah maksud yang sama, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain, di atas adalah salah satu dari lafaz Abu Daud, lihat Sunan Abu Daud – no: 4429 (Awal kitab al-Sunnah). Hadis-hadis ini memiliki jalan periwayatan yang banyak, sebahagiannya sahih, sebahagiannya hasan dan sebahagian lain dha‘if, lihat semakan dan penilaiannya oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Silsilah Hadits Shahih – no: 203.

[2] Sahih: Sebahagian hadis daripada ‘Abdullah ibn Abbas radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Darimi dan lain-lain, di atas adalah dengan lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 1849 (Kitab al-Imarah, Bab kewajipan bersatu dengan jamaah.....).

[3] Sahih: Sebahagian hadis daripada Fadhalah bin ‘Ubaid radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari (Adab al-Mufrad), Ibn Hibban, al-Hakim dan lain-lain, di atas dengan lafaz Ibn Hibban dan ia disahihkan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam Sahih Ibn Hibban – no: 4559 (Kitab al-Siyar, Bab Taat kepada pemimpin).

[4] al-Munawi dalam Faidh al-Qadir Syarah al-Jamii’ al-Sagheir (Maktabah Tijarah al-Kubra, Mesir 1356H), jld 3, ms 324.

[5] Hasan: Sebahagian hadis daripada Nu’man bin Basyir radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Abi ‘Ashim, al-Bazzar, Ibn Abi Dunya, al-Qudho‘i dan al-Baihaqi (Syu‘abu al-Iman), dinukil oleh al-Munziri dalam al-Targib wa al-Tarhib dan dinilai hasan oleh para penyemaknya: Muhyiddin Dibb Mastu, Samir Ahmad ‘Atha & Yusuf ‘Ali Badiwi.

[6] Hasan: Hadis daripada ‘Abdulullah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan di dalam isnadnya terdapat kelemahan. Namun bahagian awal hadis ini memiliki beberapa penguat dari sudut sanad dan matan sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, demikian penilaian Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 2167 (Kitab al-Fitan, Bab Keperluan kepada al-Jamaah). Bahagian akhir hadis: dan sesiapa yang mengasingkan diri, maka dia mengasing ke neraka tidak memiliki penguat dari sudut sanad tetapi memiliki kebenaran dari sudut matan sebagaimana disokongi oleh beberapa hadis dalam bab ini yang telah dikemukakan di atas. Oleh itu al-Suyuti menilai keseluruhan hadis ini sebagai hasan, lihat al-Jamii’ al-Sagheir – no: 1818.

[7] Sahih: Hadis daripada ‘Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ibn Abi ‘Ashim dan dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Kitab al-Sunnah – no: 897.

[8] Sahih: Hadis daripada Arfajah bin Syuraihin radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Abi Syaibah, Abu Daud, al-Nasa’i (al-Sunan & al-Kubra), Ibn Hibban, al-Hakim dan lain-lain, di atas dengan lafaz Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam Sahih Ibn Hibban – no: 4577 (Kitab al-Siyar, Bab Taat kepada pemimpin), demikian juga oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 3621. Juga dikeluarkan secara ringkas oleh Muslim dalam kitab Sahihnya, no: 1852.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Damshq (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999), jld 46, ms 409 dan dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani sepertimana jelas beliau dalam notakaki Misykat al-Masabih (Maktabah al-Islami, Beirut 1985), jld 1, ms 61. Juga dinukil oleh al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal (Muasasah al-Risalah, Beirut 1980), jld 22, ms 264.

Sumber : Community Forum

No comments:

Post a Comment