Maka riuhlah cerita dari tok penghulu, bahawa jika makan gandum maka kita akan jadi lebih pandai. Pandai seperti orang di kampung seberang jauh sana yang telah makan gandum sejak dari tahun yang sudah lama, tidak ingat sejak bila.
Diseru semua orang kampung,
"Mesti tanam gandum! Kita akan jadi lebih maju, anak cucu kita akan jadi pandai! Mari ikut resam orang di kampung seberang jauh yang sudah semakin jauh majunya meninggalkan kita, sebab mereka tanam gandum dan makan gandum. Sebab itu mereka bijak dan berdaya saing."
Lalu segeralah dimusnahkan relung sawah padi semua untuk menjadikan ladang gandum. Ada juga ditanam soya, jagung dan apa-apa sahaja tanaman yang pernah ditanam oleh orang kampung seberang jauh. Kerana menurut tok penghulu itulah penyebabnya mereka jadi bijak dan lebih maju. Lalu musnahlah semua ladang sawah dan gembiralah tok penghulu kerana buah fikirnya yang bijak diterimapakai oleh semua. Ada yang gembira kerana dapat memakan gandum dan lalu menjadilah mereka seperti orang kampung seberang jauh, yang pada mereka kelihatan lebih maju. Tetapi lebih ramai pula yang tidak suka, mereka tidak dapat menerima gandum sebagai makanan baru kerana sudah terlalu terbiasa dengan beras.