"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." (Surah Al-Israa:37)
Saturday, April 16, 2011
Hukum Berkaitan Telur Binatang
Al-Imam Jamaluddin Muhammad bin Abd Rahman al-Ahdal rahimahullah (1277H- 1352H) menyebutkan di dalam kitabnya عمدة المفتي و المستفتي mukasurat 31 bahawa al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah telah menyebutkan di dalam kitabnya تحفة المحتاج berkenaan telur segala jenis binatang (sama ada binatang tersebut jenis yang halal dimakan atau tidak) adalah halal dimakan.
Tetapi jika telur tersebut beracun seperti telur ular maka hukumnya adalah haram dimakan kerana bahaya yang terdapat padanya. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Qalyubi rahimahullah.
Manakala permasalahan berkaitan telur ayam pula terdapat perbahasan yang terperinci dilakukan oleh al-Imam Nawawi rahimahullah (631H-676H) di dalam kitab Majmu’. Saya akan bahaskan perkara ini mengikut tajuk seperti berikut:
TELUR YANG TERDAPAT DALAM PERUT AYAM YANG TELAH MATI
Terdapat tiga pendapat para ulama bermazhab Syafie di dalam perkara ini:
1. Jika telur itu telah keras kulitnya di dalam perut ayam tersebut maka hukumnya adalah suci. Manakala jika ianya masih lembut atau lembik maka hukumnya adalah najis. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh Jumhur ulama bermazhab Syafie seperti al-Imam Mawardi, al-Imam Ruwiyani ,al-Imam al-Syashi, al-Imam Syirazi, al-Imam Nawawi dan lain-lain rahimahumullah.
2. Pendapat kedua mengatakan bahawa apa sahaja keadaan telur tersebut maka ianya tetap dihukumkan bersih.
3. Pendapat ketiga mengatakan bahawa apa sahaja keadaan telur tersebut maka ianya tetap dihukumkan najis.
Menurut al-Imam Nawawi rahimahullah, kulit telur ayam tersebut (yang telah mati itu) dihukumkan najis tanpa sebarang perselisihan pendapat dikalangan para ulama. Ini bermakna kita perlu membasuhnya terlebih dahulu sebelum memakan telur yang diambil daripada perut ayam yang telah mati.
Manakala telur ayam yang keluar daripada ayam yang masih hidup, adakah kulit telur tersebut dikira najis?
Menurut al-Imam Nawawi rahimahullah, terdapat dua pendapat di kalangan para ulama bermazhab Syafie di dalam masalah ini.
Pendapat pertama menyebutkan bahawa ianya adalah najis dan pendapat kedua menyebutkan bahawa ianya adalah suci.
Jika kita berpegang dengan pendapat yang pertama di dalam masalah ini ,maka kulit telur tersebut perlu dibasuh terlebih dahulu. Manakala jika kita berpegang dengan pendapat yang kedua, tidaklah perlu untuk kita membasuhnya.
Perlu diingat, ini adalah jika tiada sebarang najis yang kita nampak pada kulit telur tersebut (maka kita boleh mengikut mana-mana sahaja pendapat yang telah kita senaraikan sebelum ini). Tetapi jika terdapat najis pada kulit telur tersebut, maka ianya perlu dibasuh terlebih dahulu, kerana kita bimbang akan termasuk sedikit najis tersebut ke dalam telur yang kita ingin masak.
Sikap berjaga-jaga amatlah dituntut di dalam masalah ini.
Semoga semua sidang pembaca dapat mengamalkan dengan baik.
Rujukan:
1. Al-Majmu’ Syarah Muhazzab oleh al-Imam Abu Zakaria Muhyiddin al-Nawawi jilid 1 mukasurat 132 cetakan Darul A’lam al-Kutub.
2. Umdatul Mufti wal Mustafti oleh al-Imam Jamaluddin Muhammad bin Abd Rahman al-Ahdal jilid 1 cetakan Darul Hawi.
sumber : email yahoo
Labels:
Islam,
Makanan,
Pendidikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment