Saturday, April 9, 2011

Kisah lelaki benci kebenaran sayangkan fitnah


http://abufahmiabdullah.files.wordpress.com/2010/01/naga.jpg

"Suasana hingar bingar. Pagi itu kawasan pasar di Baghdad menjadi kecoh angkara seorang lelaki berbadan tegar dan berjanggut panjang yang mengucapkan kata-kata aneh dan membangkitkan kemarahan.


Lelaki itu berdiri di tengah-tengah orang ramai dan melaungkan:“Kawan-kawan! Hari ini saya sangat membenci perkara yang benar, tetapi amat menyenangi yang fitnah! Hari ini saya akan menjadi orang kaya, bahkan lebih kaya daripada Allah SWT sendiri!”

Sungguh aneh kata-kata lelaki itu kerana selama ini, dia terkenal sebagai orang yang alim dan warak. Orang ramai tertanya-tanya, apa sudah jadi dengan lelaki ini?

Kalau hendak berlawak pun, janganlah sampai membenci kebenaran, menyukai fitnah dan mengatakan dia lebih kaya daripada Allah. Kata-kata itu boleh menyesatkan akidah. Orang ramai yang berada di pasar itu mula memarahinya.

Tetapi lelaki warak dan berjanggut panjang itu tidak memperdulikannya. Dia terus berceloteh tanpa ada tanda-tanda mahu berhenti. Tidak lama kemudian, datanglah askar kerajaan. Lelaki tersebut ditangkap lalu dibawa ke istana Khalifah Harun Al-Rasyid.

“Hah, kamu Abu Nawas!” kata khalifah sebaik melihat lelaki tersebut diheret oleh tentera ke hadapan baginda.

Abu Nawas mengangguk dan tersenyum sahaja. “Benarkah engkau kata begitu, hai Abu Nawas?” tanya Khalifah Harun Al-Rasyid yang memang kenal benar dengan Abu Nawas.

“Benar tuanku.” “Kenapa? Sudah kafirkah engkau ini?” sergah khalifah. “Tidak tuanku. Saya masih Islam. Tapi saya rasa tuanku juga seperti saya. Tuanku pasti membenci yang benar dan haq.”

Khalifah Harun Al-Rasyid tercengang. “Hah!? Sudah gilakah engkau ini wahai Abu Nawas?” baginda meninggikan suaranya kerana marah. “Jangan terburu-buru tuanku.

Dengarlah dahulu keterangan saya.” balas Abu Nawas. “Keterangan apa yang engkau hendak dakwahkan? Sebagai Muslim, aku membela kebenaran, bukan membencinya!” ucap khalifah, geram.

“Tuanku, apabila orang membaca talkin, saya selalu mendengar ucapan bahawa mati itu benar dan neraka itu juga benar. Nah, siapakah orangnya yang tidak membenci mati dan neraka yang benar itu? Tidakkah tuanku juga membencinya seperti saya?” soal Abu Nawas semula.

Khalifah terdiam. “Cerdik pula engkau ini. Tapi apa pula maksud engkau menyenangi fitnah?”

“Barangkali tuanku terlupa bahawa di dalam Al-Quran ada menyebut, harta benda dan anak-anak kita adalah fitnah. Padahal tuanku sangat menyenangi harta dan anak-anak tuanku seperti saya juga. Bukankah begitu, tuanku?”

“Ya memang betul, tetapi kenapa engkau mengatakan engkau lebih kaya daripada Tuhan?” tanya Khalifah Harun Al-Rasyid.

“Sebab saya ada anak, sedangkan Tuhan tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan.”

“Itu memang betul, tetapi kenapa engkau berkata begitu di tengah-tengah pasar hingga orang ramai menjadi kacau?” tanya khalifah yang masih belum faham dengan tindakan Abu Nawas.

“Supaya dengan cara begitu saya akan ditangkap dan kemudian dihadapkan kepada tuanku seperti sekarang ini” jawab Abu Nawas yang memang terkenal dengan loyar buruknya.

“Apa perlunya engkau menghadap aku?” “Supaya mendapat hadiah dari tuanku…” jawab Abu Nawas sambil tersengih. “Cis dasar orang cerdik!” kata khalifah lalu tergelak.

Suasana yang tadinya tegang terus bertukar menjadi riuh dengan gelak ketawa semua yang berhimpun di istana tersebut. Khalifah Harun Al-Rasyid kemudiannya menghadiahkan wang kepada Abu Nawas dan menyuruhnya balik. Gembira sungguh Abu Nawas. Ketika dia memasukkan wang dinar ke dalam sakunya dia pun berkata, “Alhamdulillah, dapat rezeki!”

Nota: Nama sebenar Abu Nawas ialah Abu Nuwas Al-Hasan bin Hani Al-Hakimi (750-810). Beliau lahir di Ahraz, Parsi dan merupakan salah seorang penyair yang terkenal di zamannya. Abu Nawas sebenarnya seorang yang warak, bagaimanapun beliau suka berjenaka dan pandai loyar buruk.

sumber : Tulahan

No comments:

Post a Comment