Sunday, April 10, 2011

Kelebihan Berilmu..


MANUSIA yang mendapat sanjungan Allah SWT adalah golongan yang menyampai dan mendidik masyarakat. Mereka meneruskan segala kerja-kerja yang ditinggalkan Rasulullah SAW dalam menyempurnakan syariat ummah.

Inilah golongan yang disebut sebagai ulama atau orang yang berilmu dan menjadikan hidup sebagai hamba agama dalam mentarbiah masyarakat agar mengenal pencipta.

Dalam al-Quran Allah menobatkan mereka melalui ayatnya yang bermaksud: …Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang-orang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan (al-Mujadalah: 11).

Betapa Allah memuliakan golongan yang berilmu atau disebut sebagai ulama. Ini kerana peranan mereka dalam sesebuah masyarakat terlalu besar.

Mereka penerus dakwah Nabi Muhammad SAW dalam melengkapkan agama umat manusia. Mendidik dan mentarbiah jiwa-jiwa agar patuh dan taat kepada segala apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi larangannya agar kita benar-benar faham mengapa kita diciptakan dan diletakkan di dunia sebagai hamba.

Melihat kepada pengorbanan golongan ulama yang terlalu besar ini, maka kolum kali ini akan membincangkan tentang kelebihan ilmu dan ulama.

Masyarakat kita lazim memanggil golongan yang alim dan fasih dengan ilmu agama sebagai ulama. Bahkan kerap kita mendengar panggilan ulama itu dilengkapkan lagi tambahannya Al-Alamah yang bermaksud sangat alim sebagai meninggikan lagi dan memuliakan golongan berjasa itu.

Ulama berperanan meneruskan penyebaran risalah kerasulan yang ditinggalkan oleh Rasulullah dalam tiga bentuk sasaran yang khusus.

Pertama, membentuk akidah ummah (kepada siapa sembahan kita); Kedua, memahamkan tentang syariat (bagaimana kehidupan dan ibadah sebagai seorang mukmin) dan ketiga, membimbing gerak langkah umat supaya tidak ada rasa takbur dan riak dengan amalan dan sentiasa menjadikan Allah dan Rasul sebagai cinta utamanya.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Menuntut ilmu itu adalah fardu (wajib) ke atas setiap muslim (lelaki) dan muslimah (perempuan) (riwayat Muslim)."

Lalu ulama menghuraikan, yang dimaksudkan ilmu yang wajib itu ada tiga bahagian iaitu:

i. Akidah atau tauhid yang membincangkan tentang pegangan dan keyakinan kepada Allah.

ii. Fiqh atau syariah yang memahamkan tentang kehidupan, bagaimana cara beribadat dan sebagainya yang merangkumi keseluruhan kehidupan manusia.

iii. Tasauf atau akhlak sosial yang membimbing perilaku dan hati supaya menjauhi sifat-sifat yang boleh merosakkan ibadah seperti riak, ujub, sum'ah dan sebagainya.

Dengan ketiga-tiga ilmu tadi maka lepaslah kewajipan seorang manusia itu dari tuntutan agama.

Jelas bahawa tugas sebagai ulama itu bukan sekadar menjadi imam dan berkhutbah di masjid, surau atau madrasah tapi besar sekali tanggungjawab yang Allah pikulkan ke bahu mereka.

Rasulullah bersabda: "Ulama adalah pewaris kepada nabi-nabi." Oleh itu tidak hairanlah mengapa golongan ini sangat dimuliakan oleh Allah SWT.

Kata Ibnu Abbas r.a: "Bagi mereka (ulama) itu beberapa darjat yang lebih atas orang mukmin dengan tujuh ratus darjat, jarak antara satu darjat dengan satu darjat itu sejauh perjalanan lima ratus tahun, seperti jarak di antara langit dan bumi."

Dan daripada Ibnu Abbas r.a lagi: "Bahawasanya Allah SWT bermegah-megah kepada para malaikat tentang usaha dakwah ulama, seperti bermegah-megah ia dengan darah orang yang mati syahid."

Lihatlah darjat dan kemuliaan yang Allah berikan kepada ilmuan islam atas usaha keras mereka menyebarkan agama Allah yang indah.

Jika kita mengkaji kemuliaan bangsa kita, mengapa orang Melayu dihormati dan disegani, menjadi bangsa yang bermaruah, mestilah juga kerana agama Islam yang menjadi anutan dan pegangan.

Namun siapa yang membawa kemuliaan agama itu kepada kita suatu ketika dahulu? Siapa yang mengislamkan Parameswara dan menukar kerajaan Melaka menjadi kerajaan Islam yang sangat berpegang teguh dengan prinsip agama. Bila ditanya siapa mereka, tentu sekali jawapannya adalah ulama.

Kemuliaan dalam menuntut ilmu

Di era kehidupan kita sekarang, masih banyak bahkan terus berkembang institusi-institusi yang mendidik umat menjadi golongan yang berilmu.

Ini sangat perlu agar ada keseimbangan antara golongan professional dan ulama.

Oleh itu, tidak benar dakwaan mengatakan andai seseorang belajar agama maka kehidupan di usia tua tidak berfungsi kepada masyarakat.

Tegas dikatakan di sini, semua itu adalah dakyah-dakyah musuh Islam yang menanamkan ideologi dalam pemikiran umat bahawa ilmu agama itu jumud.

Apabila adanya pemikiran seperti ini maka tentu sekali timbul pandangan-pandangan negatif dan sinis terhadap anak-anak muda yang menuntut di bidang agama. Pelbagai kata-kata nakal seperti kononnya nanti tidak ada kerja, masa depan yang tidak cerah dan sebagainya yang sangat menyedihkan.

Oleh itu, perlulah saya betulkan di sini bahawa rezeki diperolehi dengan cara dan tahap usaha seseorang. Bukan kepada bidang pengajian yang dipelajarinya.

Perbezaan seseorang itu adalah dengan ilmu dan keimanan, bukan pangkat atau keturunan. Seorang tokoh bukan Islam, Aristotle berkata: "Yang meninggikan darjat seseorang itu ialah akal dan adabnya bukan asal keturunannya."

Namun apa yang penting adalah kemuliaan bagi sesiapa yang menuntut ilmu itu sudah dijamin oleh Allah SWT.

Seperti kata Saidina Ali bin Abi Talib r.a: "Barang siapa yang berada di jalan menuntut ilmu, maka adalah syurga itu di dalam tuntutannya. Dan barang siapa yang ada ia dalam menuntut (mengerjakan) maksiat, maka adalah neraka itu di dalam tuntutannya."

Kita menyaksikan bagaimana kehebatan bangsa Jepun dihormati dan disegani kerana penguasaan mereka terhadap ilmu teknologi.

Umat Islam telah memiliki kegemilangan ilmuwannya kerana ramai tokoh ulama yang bukan sahaja mahir di bidang syariah bahkan mereka mempelopori teknologi, falsafah, perubatan dan sebagainya.

Ini menunjukkan agama tidak memisahkan sama sekali antara ilmu syariat dan kemajuan teknologi. Bahkan seorang yang berjaya itu adalah mereka yang sangat takut kepada Allah dan bersungguh-sungguh dalam mencapai kemajuan hidup di dunia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ilmu itu adalah bendaharaan (khazanah ternilai), anak kuncinya adalah bertanya, maka bertanya olehmu. Maka diberi pahala kepada empat orang. Pertama: Orang yang bertanya. Kedua: Orang alim. Ketiga: Orang yang mendengar. Keempat: Orang kasih kepada mereka."

Dalam riwayat yang lain menceritakan kelebihan orang menuntut ilmu itu sehinggakan bila mana berjalan pada setiap langkahnya gugur segala dosa dan dihitung setiap langkahnya dengan kebajikan lalu digandakan amalan.

Maka wajarlah bagi ibu bapa sentiasa memotivasikan anak-anak agar memahami konsep sebenar dalam menuntut ilmu agama. Ia adalah sesuatu yang besar, bukan sekadar untuk pengetahuan biasa.

Kata seorang ulama dalam kitabnya Al-Hikam Ibnu Ataillah: "Barang siapa yang mencintai sesuatu maka ia akan menjadi hamba kepada yang dicintainya itu."

Maka alangkah hebatnya remaja kita di Malaysia ini andai mereka mendalami ilmu agama, mengenal penciptanya dengan sebenar-benar kenal lalu bercinta Allah

Oleh MUHAMAD KHAIRUL AZHAR GHAZALI

sumber : Suara

No comments:

Post a Comment